01 June 2010

Episod Akhir : Baktisiswa Permata '10

14 April 2010.. Hari Akhir..

Jam menunjukkan 6.40 pagi..
Selepas solat dan mandi, aku duduk sambil mengemaskan beg bajuku.. Menyemak dan meneliti semua baju yang ada samaada ada yang tertinggal atau tidak..

Begitu juga dengan asyraff, yang kelihatan sudah siap mengemas beg pakaiannya. Sempat juga berborak-borak kosong tentang apa yang akan berlaku pada acara perpisahan sebentar lagi , penyerahan balik pelajar dari keluarga angkat kepada pihak penganjur pada jam 9.00 pagi nanti.

Lebih kurang jam 7.20 pagi, kami turun ke bawah membawa beg masing-masing. Seperti hari-hari sebelumnya, sudah tersedia nasi bungkus yang diletakkan di dalam pinggan bersama air teh O di atas meja.

Munirah dan Hanani juga sudah keluar siap bersama beg pakaian masing-masing.

Segalanya kelihatan tenang, wajah-wajah ceria terukir seperti kebiasaanya. Namun, bila dilihat dengan teliti, keceriaan itu bercampur dengan riak wajah yang seolah-olah belum bersedia untuk meninggalkan Kg. Kuala Muda ini.. belum bersedia untuk berpisah..

HADIAH UNTUK KAMI

eh, hadiah tu sume dah masuk dalam beg ke?, semalam bungkus buku sume ok?

dah siap dah.. semua dalam beg”, beg kertas berwarna ungu yang kami beli semalam sudah diisi dengan hadiah-hadiah yang bakal diberikan kepada keluarga angkat nanti.

Bagi sekarang la kat mak ..

Rilek dulu, kat dataran jap g r.. nanti kan ada bagi-bagi hadiah semua..jom makan dulu

Kami berbual-bual kosong ketika sedang menjamu selera, mak pula sedang bersiap untuk menghantar kami ke dataran sebentar lagi. Ayah sememangnya telah lama bersiap dan duduk bersarapan dengan kami.

Kelihatannya macam kami berempat yang sudah bersiap awal, rumah Pak Lah yang terletak hanya beberapa langkah dari rumah kami kelihatan sunyi pagi itu. Pak Lah pun ada juga ambil beberapa orang anak angkat.

Sedang kami bersarapan, mak datang memberi kami setiap seorang satu bungkusan.

Ni haa mak ada beli sikit untuk kamu semua, takda pa sangat la pun

eh, terima kasih mak, eh korang nape ada kotak kecik plak?.. kitorang satu je

ala,kitorang pompuan lebih la sikit, semalam pun mak dah belikan cincin untuk kitorang

eleh, ye la tu.. kalau kau U ni pompuan yang dah pakai cincin susah la orang nak kacau, mesti orang ingat dah tunang.. haha

tu pasal la pakai, tak senang kena kacau .. hehe

Aku meneliti bungkusan yang baru diterima, lembut je.. macam kain.. baju ke?

ni mesti kain pelikat ni ”, teka asyraff.

Aku tidak berniat untuk membuka hadiah itu, biarlah di dalam bas nanti.

Jam menunjukkan hampir 9.00 pagi..

eh, jom la gerak gi dataran, macam dah lewat je ni

ha’ah, dengar macam dah ramai

Satu persatu beg dimasukkan ke dalam kereta. Aku pergi ke dataran dengan menaiki motor, anak lelaki mak tolong hantar sebab kereta dah tiada tempat duduk kosong.

MAJLIS PENYERAHAN ANAK ANGKAT

9.30 pagi..

kelihatan sibuk suasana di dataran, ada sebahagian peserta telah tiba di dataran bersama dengan keluarga angkat mereka. Namun masih ada sebahagian lagi yang masih tidak kelihatan, Faaizz antaranya..

tidak lama selepas kami sekeluarga tiba, aku ternampak fadhir dan Li datang dengan menaiki motor. Mereka menghantar beg dahulu, katanya keluarga mereka tak dapat hadir ke dataran.

Pada masa itu juga, kami berempat menyerahkan “kenangan ungu” kepada keluarga angkat. Semestinya acara bergambar menjadi keutamaan bagi kesemua peserta-peserta baktisiswa. Gambar sesama biro, ahli keluarga, sahabat dan lain-lain. Kesemuanya penting kerana kenangan itu tidak akan berulang, hanya dengan gambar kita dapat menatap kembali kenangan yang dilalui.





Setelah kesemua peserta hadir di dataran, acara penyerahan anak angkat dimulakan. Sedikit ucapan ringkas daripada ketua kampung, Pak Lah dan juga pengarah program, Baim yang saling membalas ucapan terima kasih kerana sudi menerima rombongan kami untuk berkampung di kampung ini.

Seorang demi seorang peserta dipanggil ke pentas bersama-sama dengan keluarga angkat mereka. Sebagai simbolik penyerahan semula, anak-anak angkat menyerahkan sejumlah wang mengikut bilangan anak angkat kepada keluarga mereka serta baju program. Mengambil seorang anak angkat, keluarga akan mendapat RM 50 bagi kos belanja makan dan lain-lain sepanjang kami menumpang di rumah mereka. Tetapi atas permintaan Pak Lah sendiri, perkara itu dirahsiakan sejak awal perancangan program kerana Pak Lah mahu mencari mereka yang benar-benar mahu mengambil anak angkat,mencari mereka yang ikhlas.

sedang aku leka berbual di belakang..

Di jemput En. Ishar bin Man, Pn. Rosilla bersama-sama anak mereka Nurmunirah bt. Ramli, Hanani Husna bt. Ahmad Nor Bakri, Mohd. Izwan bin Mohd Yusof dan Muhammad Asyraff bin Zainal Alam naik ke pentas”, pengumuman dari pengacara majlis.



Aku yang pada masa itu hanya membuat muka selamba dan sedikit senyuman diukir ketika sesi bergambar di atas pentas. Munirah yang emosinya sedikit tersentuh dengan majlis perpisahan ini,kelihatan sedih. “ Nampaknya, kita telah melihat hujan gerimis di tengahari”,usik pengacara majlis.

Adat sebuah pertemuan yang diakhirnya perpisahan menanti, terutama bagi program-program seperti ini. Aku juga tidak terkecuali daripada perasaan sedih tersebut, tetapi sukar untuk menitiskan air mata ini.

PAPADOM Pulau Pinang

2 buah Bas UIAM telah pun bersiap sedia untuk memulakan perjalanan pulang. Kesemua barang-barang perlu dimasukkan segera. Hingga ke saat-saat akhir program, tugas aku masih belum selesai sebagai krew “prep n tech”. Aku menyemak semula peralatan yang aku pinjam dari UIA , bagitu juga dengan Zarul.

Selesai tugas, aku kembali bersama keluarga dan adik beradik angkat. Berbual-bual dengan masing-masing menjemput mak dan ayah datang ke rumah. Asyraff pada masa itu telah pulang bersama keluarganya ke rumah,maklumlah rumah Asyraff tidak sampai setengah jam dari rumah keluarga angkat kami. Ketika berbual-bual,mak juga bersungguh-sungguh menjemput kami datang lagi ke penang, dan kami hanya mampu menjawab InsyaAllah. Mungkin kami akan pergi semula ke sana cuma bergantung kepada keadaan dan masa.

Aku perasan yang ayah bercakap sesuatu di telefon tetapi agak menjauhkan diri dari kami seketika. Terdengar macam mahu membeli sesuatu dengan segera. Aku mengabaikan sahaja dan tidak bertanya,mungkin urusan di pejabat agaknya.

Tidak lama selepas itu, Kak Yana datang dengan motor besar ayah membawa sesuatu.

PAPADOM, sebanyak 10 bungkus.

Nah, ni buat korang.. Hari tu cakap keluarga pesan ye.. semalam tak sempat nak beli,tu pun biq juga rumah sebelah ada banyak”, ujar ayah sambil menghulurkan beg plastik berisi papadom kepada aku.

Aku nak sangat beli papadom ni semalam sebab ianya bukan seperti papadom yang biasa aku makan di rumah,yang berbentuk petak-petak kecil itu. Tetapi papadom penang ini berbentuk bulat dan besar, tidak ubah seperti filem PAPADOM yang dilakonkan Afdlin Shauki.

Tidak boleh dinafikan, hati aku sedikit tersentuh. Sanggup juga ayah cari apa yang aku nak beli semalam, sekali lagi ucapan terima kasih yang mampu aku luahkan untuk membalas jasa itu. Akhirnya ada juga ole-ole untuk aku bawa pulang ke Johor nanti. Aku tidak ambil kesemuanya, aku bagi Mun dan Nani 2 bungkus setiap seorang, nak bagi Asyraff juga namun dia sudah pulang lebih awal.

LAMBAIAN PERPISAHAN.. TETAPI, DI MANA MEREKA ?

Ayah pada masa itu terpaksa pulang awal kerana ada urusan di pejabat. Tinggal mak dan Kak Yana di dataran. Setelah selesai bersalaman dan saling mengucapkan salam, kami bersiap menaiki bas.

Angka giliran dipanggil seorang demi seorang bagi memastikan tiada yang tertinggal. Kelihatan di bahu jalan, keluarga angkat masing-masing menunggu untuk menyaksikan perjalanan pulang kami. Aku hanya duduk dan melihat ke luar tingkap, memerhatikan kawasan penempatan baru bagi mangsa-mangsa tsunami di Kg. Kuala Muda ini. 6 hari ini memberi pengalaman yang bermakna dan belajar banyak benda baru.

Tayar bas bergerak dengan perlahan menandakan perjalanan pulang kami sudah bermula. Kami berkumpul di tepi tingkap, melambai-lambai kearah penduduk kampung. Aku ketika itu tercari-cari mak dan kak yana, namun tidak kelihatan. Kereta toyota avanza hijau itu juga telah tiada, mungkin mak tak sanggup melihat kami pulang kerana dia kelihatan begitu berat hati untuk membenarkan kami pulang. Terasa masih belum cukup masa yang ada untuk saling berkenalan.



Mungkin ada takdir untuk pertemuan kedua selepas ini..

Pertemuan kedua yang sememangnya dinanti oleh semua..

Banyak perkara yang ingin dikongsi jika bersua kembali..

Lebih kurang setengah jam perjalanan, menutup seketika buku U-Turn ke Jalan Lurus yang sedang aku baca, teingat akan bungkusan hadiah yang diberikan mak pagi tadi.

Dengan cermat aku membuka..

Benar tekaan Asyraff, sehelai kain pelikat..

Dan apa yang istimewanya, ia berwarna UNGU .. Ungu yang kami berikan, ungu juga yang kami terima..

Kenangan dan pengalaman yang tidak akan dilupakan..

- TAMAT –

* Nota Kecik :

1. Aku menulis semula hari demi hari berkenaan baktisiswa ini kerana secara peribadi ia merupakan pengalaman pertama aku menyertai program baktisiswa. Sesuatu yang unik bagi aku. Untuk memastikan setiap detik tidak dilupakan, aku menulisnya kembali.

2. Entri – entri sebanyak 7 episod ini hanya sesuai dibaca untuk meraka yang sabardan ingin membaca sebab agak panjang jalan cerita ini.

3. Maaf jika ada yang kebosanan membacanya sebab aku bukanlah seorang penulis cerpen mahupun novel, jadi gaya penulisan tidaklah sebaik mana. ( tidak suka jawab peperiksaan karangan masa SPM )

4. Boleh rujuk entri lepas di sini :

Episod 1

Episod 2
Episod 3
Episod 4
Episod 5
Episod 6

5. Jika anda membaca kesemua cerita ini, sila tinggalkan komen ye (^_^).

No comments: