18 November 2010

Aidiladha, Pengorbanan Selepas Menempuh Ujian


Ketika ini, takbir raya masih lagi berkumandang di radio mahupun televisyen. Seperti biasa, Aidiladha di sini disambut secara sederhana sahaja. Tidak semeriah bagaimana Aidilfitri disambut dan aku tidak tahu mengapa. Mungkinkah adatnya memang begini ?

Tiba-tiba diri ini teringat akan khutbah selepas solat sunat Aidiladha semalam, khatib menyatakan bahawa hari raya Aidiladha merupakan hari raya paling besar bagi umat Islam. Selepas diuji pada bulan Ramadhan, kita dianjur supaya rela untuk berkorban. Itulah yang aku dengar, pengorbanan selepas menempuh ujian...



Bulan Ramadhan yang lalu, pelbagai ujian telah ditempuh. Menahan lapar dan dahaga sejak terbit fajar hingga terbenam matahari menguji kekuatan sebagai seorang muslim. Hawa nafsu dikawal supaya tidak terlalu bebas mengawal diri. Selepas berjaya menempuhi ujian, ketibaan Aidiladha membangkitkan semangat untuk berkorban di dalam diri sendiri.

Ringkasnya, khutbah semalam lebih menekankan kisah sejarah agung pengorbanan Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail. Demi menurut perintah Allah S.W.T, Nabi Ismail rela dikorbankan atas keyakinan yang tinggi dengan janji Allah di akhirat kelak. Dengan keikhlasan itu, pengorbanan itu diganti dengan seekor kibas dan seterusnya menjadi satu ibadah yang dilakukan oleh umat islam.

Pengorbanan itu mungkin sesuatu yang sukar kerna aku pun begitu. Terlalu berada di keadaan yang selesa kadangkala membuat aku tidak mahu melangkah kepada sesuatu yang lebih baik dan seterusnya meninggalkan perkara yang jelas kurang memberi apa-apa faedah terhadap diri. Ahh, mengapa sukar untuk melakukan pengorbanan itu, mungkin terlalu cintakan dunia ini ? Sungguh pengorbanan itu luas maknanya, jika aku melakukannya ia amatlah kecil berbanding dengan sejarah pengorbanan Nabi Ismail sendiri.

Kata-kata seorang sahabat terlintas di fikiran ini,”kita mungkin tahu tetapi kita tidak sedar, tahu dan sedar merupakan 2 perkara berbeza”...

Ya, aku mungkin tahu tetapi aku masih lagi tidak sedar............

Salam Aidiladha..


1958
Rumah...

No comments: