28 October 2010

manfaatkan sejarah yang berulang !

Salam..
Sudah 2 hari berturut-turut aku pulang ke bilik lewat malam.. sekitar jam 10 ke 11 malam baru sampai ke bilik dalam keadaan yang meletihkan.. sungguh meletihkan.. aku memahami apa yang kalian ( rakan sekelas mechatronics workshop ) rasakan sekarang ini..

Line-following robot, satu projek yang mesti disiapkan berbekalkan ilmu sepanjang satu semester mengambil subjek ini.

tak berbaloi berpenat-penat untuk subjek 1 kredit sedangkan kita ada subjek lain yang makan sampai 3 hingga 4 kredit untuk difokuskan”, pendapat seorang rakan.

Aku dengan selamba menyokong !.. hahaha.. sebab subjek lain pun aku tak habis cover lagi untuk final exam yang tinggal beberapa detik ni.

Namun dari satu sudut berbeza, projek ini merupakan sejarah berulang untuk aku.. Sejarah 4 tahun yang lalu bakal berulang dalam diri ini.




Tahun 2006, di dalam kelas 5 Sains Arab 1, S.M.K. Simpang Renggam. . .

“sekolah kita ada beli 2 set robot untuk pertadingan robotik peringkat kebangsaan, kalau ada sesiapa berminat boleh beri nama kat cikgu bidin”, pengumuman dari Ustaz Faizi, cikgu pendidikan syariah islamiah.

Aku menjadi teruja entah kenapa bila mendengar pengumuman itu, sudah lama aku mencari peluang sebegini. Aku terus angkat tangan untuk masuk pertandingan tu tetapi hanya aku seorang. Mujur ada seorang lagi rakan, Hakem bin Abd. Hamid yang turut berminat menyertai projek robot tersebut.

Akhirnya tertubuh juga dua pasukan robotik buat kali pertama di sekolah itu. 6 orang peserta yang masih mentah dan baru dalam bidang ini cuba untuk melakukan sesuatu yang berbeza. Aku, Hakem, 2 orang pelajar perempuan dari kelas LR ( lukisan kejuruteraan & rekacipta ) dan 2 orang junior tingkatan 4 mendaftar sebagai peserta. Oh ya, masa tu aku di tingkatan 5.

... sampel robot yang digunakan pada waktu itu ...


Robot yang kami dapat dibekalkan oleh syarikat Lego ( M ) dan software Robolab ( kalau tak salah ). Masa tu, aku rasakan ia cukup susah. Kami perlu susun dan bentuk lego itu menjadi sebuah kereta, letakkan sensor di hadapan dan lakukan program untuk membolehkan robot mengikut garisan hitam. Waktu latihan dilakukan hampir setiap petang sepanjang 2 minggu, bermula dengan memasang gear, badan robot, sensor dan proses pengatucaraan ringkas untuk memberi arahan kepada robot.

Gagal !

Itu perkara biasa bagi kami budak baru belajar. Entah kemana robot itu pergi, berpusing-pusing tanpa mengikut arahan dan sebagainya. Namun tidak pernah kalah sebab semangat pasukan itu ada.

takpe,kita cuba cara lain.. cuba pasang kat sini.. pasang macam ni.. cari cara lain”

Aku merasai semangat itu. Sehinggalah hari pertandingan, perjalanan ke SMK Dato’ Menteri, Air Hitam merupakan saat yang mendebarkan. Tiba di dewan sekolah tersebut, aku lihat ramai pasukan yang begitu hebat dari segi penampilannya. Bermacam-macam kotak pekakas dibawa, kami perlu bersaing dengan pelajar-pelajar sekolah teknik, sekolah berasrama penuh dan sekolah-sekolah yang sudah lama bergiat aktif dalam pertandingan ini. Kami ? Insan kecil yang punya semangat untuk bersaing dengan mereka yang bergelar “otai”. Pertandingan hari itu melibatkan zon D ( selatan ) peringkat kebangsaan, hanya negeri Johor dan Melaka terlibat.

Pertandingan berlangsung dengan sengit. SBPI Selandar pasukan hebat, juga SMK Dato’ Menteri yang bijak menggunakan kelebihan selaku tuan rumah. Bila tiba masanya, aku mewakili pasukan pertama sekolah untuk menggerakkan robot di litar. Takut dan gelisah bermain difikiran tatkala mahu menghidupkan suis. Di permulaan litar, segalanya berjalan lancar sehinggalah di satu selekoh, robot itu tersasar. Perancangan tidak menjadi, tersingkir dari pertandingan ! Nasib pasukan kedua agak baik, hampir menggugat pasukan-pasukan hebat namun terkandas ketika robot tiba di kawasan berhalangan.



Aku sungguh kecewa,ketika itu terasa sia-sia segala usaha dan latihan yang dilakukan. Sedih itu sudah pasti ada. Mujur ada rakan-rakan dan guru yang memberi kata-kata positif dan menaikkan semangat kami. Biarpun kami masih baru, namun pengalaman yang diperoleh itu sangat berharga.

Kini, peristiwa itu sudah lama berlalu. Bila aku mendapat tahu projek mechatronics workshop ni kena buat line-following robot, aku terimbau kenangan pada tahun 2006. Nampaknya sejarah itu berulang lagi cuma kali ini cabarannya jauh lebih hebat. Kami perlu memulakan dari proses membuat litar elektronik, memasang komponen elektronik, pengatucaraan program kepada PIC dan segala-galanya.

... dulu masa kecik-kecik punya susah nak beli kereta TAMIYA original,
sekarang dapat free je ...


Hingga ke hari ini, projek yang bakal dibentangkan pada 29 Oktober 2010 berjalan lancar. Cuma masih terdapat sedikit kekurangan yang perlu diperbaiki. Kali ini, aku bagai tidak kenal erti penat biarpun terpaksa duduk mengadap robot itu dari petang hingga ke malam, menyelesaikan masalah yang ada bersama rakan sepasukan. Ahh, sungguh memeningkan namun aku mahu teruskan dan mencuba selagi mana termampu.

Hey ! jangan sesekali menjadikan kekecewaan itu satu perkara yang sungguh mendukacitakan. Semangat yang aku rasakan sekarang adalah kesan kekecewaan aku dalam pertandingan 4 tahun yang lalu. Aku tidak mahu ia berulang lagi, andai ditakdirkan projek kali ini tidak berjaya sepenuhnya, dari segi peribadi, aku harap pencapaian projek robot kali ini lebih baik daripada apa yang pernah aku lalui.

Jika sejarah berulang dan dahulu kita pernah kecewa, ambillah iktibar dari sejarah supaya kekecewaan itu tidak akan berulang...



*nota kecik : semoga kita semua ( rakan sekelas mechatronics workshop ) dapat menyempurnakan tugasan ini.. entri yang panjang kali ini ...

0206
28 Oktober 2010
Uthman D

No comments: