Salam..
hahhhh.. mengeluh panjang seketika,sementara menunggu proses muat turun lagu senja nan merah – Awie & Ziana Zain, baru aku teringat nak menulis di blog ini. Dari petang sampai la rancangan mentor 4 habis, aku sibuk dengan Adobe Photoshop CS 3, edit gambar-gambar yang baru aku ambil semalam. kenapa dengan Semalam ?
19hb Jun 2010..
Aku ke Melaka dengan rakan sekolah menengah dulu. Hakem, Anuar,adik aku Hafiz dengan seorang lagi kawan dia.
Kalau diikutkan perancangan aku destinasi mana nak dilawat,cukup banyak.. nak ikut rancangan aku tu,sampai kena duduk melaka lebih dari satu hari rasanya . Tapi apa yang ada hari tu pun dah memadai.
Yang menariknya, malam sebelum kami bertolak,baru aku dapat tahu adik Anuar ada DSLR Nikon D3000. Peh !, mana mungkin aku tidak teruja.. hehe.. Nak tidur malam pun siap baca manual DSLR Canon .. Canon atau Nikon ?!!
Esoknya, perjalanan bermula jam 8.10 pagi. Sebaik saja keluar di tol Air Keroh,kami berhenti kejap untuk cari tandas. Aku pun masa tu cuba-cuba la nak amik gambar pakai dslr ni.Target aku nak buat gambar fokus kat objek,background blur. Disebabkan aku baru pertama kali gunakan dslr, puas belek itu belek ini tak dapat-dapat. Hampir setengah jam duduk situ je,tak masuk destinasi nak dilawat lagi tu.huh!!
Aku menelefon Zareep, member kat uia dan seorang pengguna DSLR juga. Bayangkan aku hanya belajar guna dslr buat pertama kali melalui telefon, lepas tu terus shoot gambar. Jadi tak berapa cantik sangat la kualitinya, kita tengok je nanti.
Taman Mini Malaysia & Asean
Inilah destinasi pertama kami. Lokasi tempat ni tak jauh dari plaza tol Air Keroh. Bayaran masuk RM 12 bagi orang dewasa, RM 10 bagi pelajar IPT/sekolah, dan RM 6 untuk kanak-kanak.
Agak mahal la pada aku,dah macam harga KFC X Meal pun ada tapi sekali sekala apa salahnya.
Menarik di Taman Mini Malaysia ni kita dapat lihat rekaan rumah-rumah tradisional setiap negeri di Malaysia. Pada aku, nilai – nilai seni yang ada di rumah tradisional ini cukup berharga. Dari segi rekaan,susun atur bilik,ruang tamu,dapur dan sebagainya cukup unik. Di bahagian hujung taman ada tasik buatan dan jambatan gantung. Dihiasi permandangan semulajadi, cukup menenangkan fikiran. Aku memang sukakan tempat-tempat semulajadi, memang di bandar itu seronok tetapi tiada ketenangan. Hakem dan Anuar jalan-jalan biasa je,cuma aku yang agak leka shoot gambar sampai lupa dah tengahari,destinasi banyak lagi ni nak dituju !!
Kota A’ Famosa
Tidak lengkap ke Melaka kalau tak singgah di bandar Melaka. Bandar yang cukup sempit tetapi unik. Lihat saja jalanrayanya, memang tidak boleh diluaskan,sempit dan sesak. Tapi jalan yang sempit itu,punya sejarah tersendiri. Dikelilingi bangunan-bangunan kedai lama membuatkan aku berasa seperti kembali ke zaman dahulu sebelum merdeka.
Hari itu,bandar Melaka cukup sesak. Nak cari tempat parkir kereta terpaksa pusing beberapa kali. Hari sabtu,cuti sekolah ditambah pula dengan hari penutup Sukan Malaysia ( SUKMA ) memang menambahkan lagi kesesakan kota Melaka. Kami di bandar tidak lama,sekitar satu jam setengah. Mula-mula kami melawat Istana Melaka. Hanya RM 2 seorang untuk bayaran masuk. Cukup murah dari Taman Mini Malaysia tadi.
Sebelum memasuki istana, aku ternampak sekumpulan ahli kaji sejarah sedang melakukan kerja-kerja penggalian. “ Projek Penyelidikan dan Ekskavasi Arkeologi Tembok Kota Melaka “, itu yang tertera di papan tanda yang diletakkan. Ada lagi rupanya tinggalan sejarah dalam era moden sebegini, menarik kalau aku dapat berbual dengan mereka tetapi masa tidak mengizinkan.
Istana Melaka cukup besar dan tersergam indah. Bayangkanlah pada zaman dahulu, itulah pusat pentadbiran utama di Tanah Melayu. Di dalamnya terdapat rekaan pakaian-pakaian tradisional mengikut negeri, patung-patung pedagang mengikut negara yang dahulunya pernah berdagang di Melaka serta kedudukan para hulubalang,laksamana,datuk bandar dan lain-lain semasa istiadat mengadap sultan.
Kota A’ Famosa pula memang sentiasa sesak. Itu perkara biasa. Ramai pelancong tidak akan melepaskan peluang mengambil gambar di kawasan tinggalan penjajah yang cukup kekal binaannya. Kekalnya penjajah ini bukan setakat monumen,namun pemikiran mereka juga telah kekal di Malaysia ini. Kenapa? Tidak perlu diterangkan,cuma perlu lihat dan fikir situasi sekeliling kita sekarang ini.
Masjid Tengkera
Dinyatakan sebagai masjid tertua di Malaysia. Aku tidak melepaskan peluang untuk melawat masjid Tengkera sambil solat asar di situ. Memasuki pintu utama cukup pelik, ukiran dipengaruhi seni ukiran jawa. Mimbarnya juga mempunyai ukiran yang pelik,ditambah dengan cat kuning keemasan cukup menyerlahkan lagi seni ukiran tersebut. Di Melaka, masjid dan surau memang terletak di tepi-tepi jalan dan jumlahnya cukup banyak. Jadi untuk solat di Melaka tidak menjadi masalah. Dan satu lagi,rekaan bumbung hampir kesemua masjid di Melaka adalah sama. Menarik ! Nilai tradisional dan sejarah yang perlu dikekalkan.
Pantai Pengkalan Balak
Melawat Pantai Pengkalan Balak cukup menenangkan. Walaupun kami tiba agak lewat,sekitar jam 6.40 petang tetapi seronok dapat melihat pemandangan matahari terbenam. Kalau sampai awal mungkin sempat nak mandi sekejap, tapi aku dah cukup serik untuk mandi pantai. Ada memori pahit sewaktu tingkatan 2 dulu.
Melihat pantai membuatkan aku tenang seketika, desiran angin laut, ombak pantai dan segalanya cukup untuk menghilangkan penat. Sempat juga ambil gambar sambil melompat-lompat,nak buat freeze motion, jadi la juga sebab aku set shutter speed laju. Pantai Pengkalan Balak ini cantik persisirannya,air laut juga bersih. Jadi ia amat sesuai untuk percutian. Ditambah ada disediakan bilik untuk disewa,gerai makan,surau dan tandas. Rasanya lain kali tidak menjadi masalah kalau aku nak bercuti lama di tepi pantai sebegini.
“ Percubaan pertama, usah diharap kesempurnaan. Belajar perlu bermula dari melihat isi kandungan,bukan terus kepada rumusan “
apa yang aku nyatakan itu,berkaitan dengan pengalaman aku yang pertama kali menggunakan DSLR. Aku memang tidak punya ilmu yang cukup dalam mengendalikan kamera ini. Bayangkan hanya belajar melalui telefon dalam 10 minit, terus buat praktikal.
Bila aku tengok balik gambar dalam laptop, cukup mengecewakan. Dalam 350 keping gambar. tidak sampai 30 pun rasanya yang sempurna dan menarik. Aku banyak menggunakan setting manual dari segi ISO,shutter dan aperture.
“ pertama kali guna tak reti-reti nak pakai auto mode”,itulah kata hati aku bila melihat kembali gambar tersebut.
Hahaha.. kelakar juga. Kecewa sedikit tetapi aku belajar sesuatu. Ya, mungkin percubaan pertama aku ini , banyak yang tidak sempurna. Itu normal pada aku, dari percubaan pertama kita tahu tahap kita. Kalau pertama kali dah terlalu baik,bimbang kesilapan tidak diketahui,lalu aku menyombong diri. Lepas ni,kena banyakkan lagi belajar dan bertanya. Mungkin aku boleh buat lagi baik dari gambar-gambar ini.
Dan lagi satu, nak belajar tak boleh lompat-lompat. Disebabkan terlalu ghairah nak guna DSLR, aku terus guna mode manual tanpa ada persediaan yang cukup. Kurang faham dengan kamera itu,fungsi-fungsinya sedikit sebanyak mendatangkan kekurangan pada kualiti gambar.
Perlu ingat dan mencuba lagi !!
“Satu hari itu”.. pengalaman yang memberi pengajaran dan dapat punya masa yang lama dengan rakan yang sudah lama tidak bersua muka.
* nota kecik : - gambar adalah detik untuk merakam sejarah. Gambar mampu membuat kita ketawa,menangis,sedih dan gembira. - gambar yang telah aku edit akan dikongsi pada entri seterusnya.
0127
21 Jun 2010
rumahku..
3 comments:
waaaa..ni camera idamanku nih..huhu..gempak r kalo ade camera ni..gmbr semart!
salam noobies. jk.
eh, date imprint tu xbole turn off ke? potoshop, content-awre kan la. kasi ilang.
to Mira : smart bila tau guna.. hehe
to Faaizz : aku tak tau camane,mls nak cari funtion tu..biar r bertarikh2 pun..
Post a Comment